PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan komitmennya untuk menangani isu disiplin dalam kalangan anggota secara adil dan telus, susulan mesyuarat Lembaga Disiplin yang diadakan pada Sabtu bagi membincangkan beberapa aduan berkaitan salah laku dan pelanggaran peraturan parti.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Zainol Samah, beliau menekankan bahawa integriti dan nama baik parti adalah keutamaan dalam setiap tindakan yang diambil.
“Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat sentiasa komited untuk melaksanakan tugasnya dengan adil dan telus tanpa memihak kepada mana-mana pihak demi menjaga integriti dan nama baik parti,” tegas beliau.
Beliau turut menyeru agar anggota parti yang ingin membuat aduan berhubung isu disiplin supaya menggunakan saluran rasmi dengan menghubungi [email protected] atau talian 03-7885 0530.
Dalam usaha memperkukuh disiplin dalaman, Lembaga Disiplin turut mengingatkan semua anggota agar tidak menyebarkan aduan atau dakwaan melalui media sosial, yang boleh menjejaskan reputasi parti dan mencetuskan kekeliruan.
“Penggunaan sebarang media termasuk media sosial untuk menyebarkan aduan, dakwaan atau maklumat berkenaan parti boleh menjejaskan reputasi parti serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan anggota,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota yang didapati melanggar peraturan atau tatatertib parti.








