Lembaga Kaunselor Malaysia Sahkan Pengasas Program eHati Tidak Diiktiraf

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Pengasas Program eHati, Diyana Tahir, disahkan bukan seorang kaunselor berdaftar dan tidak mendapat pengiktirafan rasmi daripada Lembaga Kaunselor Malaysia.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini, Lembaga Kaunselor Malaysia berkata, hasil semakan dan siasatan mendapati program motivasi tersebut melibatkan aksi lucah, dan pengasasnya tidak berdaftar di bawah Akta Kaunselor 1998 (Akta 580).

Katanya, hanya individu yang berdaftar secara sah dibenarkan untuk menawarkan khidmat kaunseling.

“Untuk makluman, perkhidmatan kaunseling hanya boleh dijalankan oleh seorang kaunselor yang berdaftar dan di bawah Seksyen 22(1), tiada seorang pun boleh mengamalkan atau menjalankan atau mengendalikan atau mengemukakan dirinya sebagai mengamal atau menjalankan atau mengendalikan, amalan sebagai kaunselor atau bekerja sebagai kaunselor.

“Menggunakan gelaran ‘kaunselor berdaftar’ atau apa-apa gelaran dalam apa-apa bahasa yang mungkin munasabahnya ditafsirkan sebagai menunjukkan bahawa dia seorang kaunselor berdaftar.

“Menggunakan atau mempamerkan apa-apa tanda, papan, kad atau reka bentuk lain yang menggambarkan atau menunjukkan bahawa dia seorang kaunselor berdaftar,” kata kenyataan itu.

Lembaga Kaunselor Malaysia turut berkata, sekiranya didapati melanggar peruntukan itu, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM30,000, penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali
(sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 22(2)).

Lembaga juga menjelaskan bahawa mengikut Seksyen 23(1), hanya mereka yang memegang sijil perakuan amalan yang sah boleh menjalankan sesi kaunseling.

Lembaga Kaunselor Malaysia turut menasihatkan orang awam agar mendapatkan khidmat daripada kaunselor berdaftar, memastikan individu berkenaan mempunyai sijil amalan yang sah dan berhati-hati agar tidak terpedaya serta dapat menjamin kualiti perkhidmatan.

Anda Mungkin Berminat