PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau meletakkan sepenuh nasib serta ketentuan di tangan Allah SWT dan sistem perundangan negara.
Bekas Menteri Belia Dan Sukan itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang tampil menyokong beliau di saat mendepani empat pertuduhan yang dikenakan ke atasnya selama lima tahun ini.
“Saya letak sepenuhnya nasib dan ketentuan saya di tangan Allah SWT dan sistem perundangan negara yang saya sanjungi dan hormati selama ini.” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lstana Kehakiman Putrajaya hari ini.
Syed Saddiq dilihat hadir pada jam pukul 8.27 pagi dengan memakai sut berwarna hitam dan diiringi dua pegawainya.
Turut hadir, penyanyi Bella Astillah, pempengaruh Tiktok yang juga abangnya, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman, ibunya dan rakan taulan beliau yang lain.
Pada 20 Mac lalu, Mahkamah Rayuan menangguhkan prosiding rayuan Syed Saddiq atas faktor kesihatan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Sebelum itu, pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman terhadap Syed Saddiq, selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Armada.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid yang dalam penghakiman setebal 22 muka surat menolak pembelaan Syed Saddiq dan menyifatkan keterangannya sebagai ‘tidak masuk akal’.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Susulan keputusan berkenaan, bekas Ketua Armada Bersatu itu memfailkan rayuan dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya bagi mengetepikan hukuman serta dibebaskan daripada semua pertuduhan.
Baca juga: