SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan hasil laporan rasmi siasatan insiden letupan paip gas yang berlaku pada 1 April lalu berhampiran Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights.
Laporan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Siasatan Letupan Paip Gas, diketuai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Malaysia, merumuskan bahawa faktor persekitaran bawah tanah merupakan punca utama kegagalan struktur paip yang akhirnya membawa kepada letupan pada jam 8:08 pagi.
“Siasatan menunjukkan paip gas telah berganjak sebanyak 15.9cm akibat mendapan tanah 24.3cm sejak ia ditauliahkan pada tahun 2000. Terdapat tanda-tanda tekanan dan keletihan (fatigue) pada struktur paip,” jelas laporan tersebut.
Penemuan juga mendedahkan kawasan berkenaan merupakan tanah tepu air dengan takungan air bawah tanah semula jadi, menyebabkan kelembutan tanah dari masa ke masa. Keadaan ini, ditambah pula dengan sistem saliran monsun dan culvert yang terjejas, tekanan iklim, serta peningkatan kepadatan penduduk, mempercepatkan kerosakan struktur paip.
Siasatan turut melibatkan aspek jenayah yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun pihak polis mengesahkan tiada unsur sabotaj atau kecuaian manusia yang terlibat.
Berdasarkan dapatan itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa laporan ini akan dijadikan asas penambahbaikan pengurusan risiko di kawasan berisiko tinggi.
“Sebuah Jawatankuasa Khas di bawah Unit Pengurusan Bencana Negeri akan ditubuhkan melibatkan pakar, termasuk dari Petronas. Ia akan meneliti reformasi undang-undang, prosedur kelulusan perancangan, dan dasar pembangunan yang mengambil kira risiko perubahan iklim dan keselamatan talian paip gas,” katanya.
Langkah ini dilihat penting bagi memperkukuh keselamatan infrastruktur gas dan memastikan insiden tragis seperti ini tidak berulang, khususnya di kawasan yang mengalami perubahan geologi jangka panjang seperti Putra Heights.
Baca juga: