LHDN Kenal Pasti 14,858 Pemastautin Cukai Dengan Akaun Luar Negara Bernilai RM10 Bilion

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenal pasti seramai 14,858 pemastautin cukai Malaysia yang memiliki baki akaun kewangan luar negara berjumlah lebih RM10 bilion, namun gagal melaporkannya melalui Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).

Pengesanan itu dilakukan hasil pertukaran maklumat akaun kewangan antarabangsa melalui kerjasama lebih 100 negara termasuk Luxembourg, Hong Kong, Guernsey, Cayman Islands, Bahamas dan Bermuda.

Langkah tersebut sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh pematuhan cukai serta menangani isu pelarian cukai rentas sempadan.

Dalam kenyataan pada Isnin, LHDN memaklumkan pihaknya telah menghantar peringatan kepada pemastautin terbabit sebagai pendekatan awal untuk menggalakkan pematuhan secara sukarela.

Mereka diberi ruang untuk membuat semakan dan pengisytiharan pendapatan sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan pemastautin cukai berpeluang membetulkan laporan mereka secara sukarela sebelum dikenakan tindakan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

LHDN turut menasihati pemastautin cukai yang mempunyai pendapatan belum dilaporkan serta akaun kewangan luar negara daripada sumber yang sepatutnya dikenakan cukai di Malaysia supaya tampil segera membuat pengisytiharan.

Langkah itu penting bagi memastikan pematuhan sewajarnya serta mengelakkan penalti dan tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Selain itu, LHDN menegaskan komitmen untuk mentadbir sistem percukaian negara secara telus, berintegriti dan profesional, selaras dengan piawaian percukaian antarabangsa.

“Dengan pendekatan berstrategi dan kerjasama semua pihak, LHDN akan terus memperkukuh tadbir urus percukaian demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara,” menurut kenyataan berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklum balas boleh menghubungi HASiL Contact Centre di talian 03-8911 1000 (dalam negara) atau 603-8911 1000 (luar negara), melalui HASiL live chat atau borang maklum balas di laman rasmi HASiL.

Anda Mungkin Berminat