KOTA TINGGI: Lima cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres dan dua kereta Mercedes, di Jalan Kota Mersing, berhampiran Felcra Sungai Ara, malam tadi.
Menurut kenyataan dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, pihaknya menerima panggilan jam 10.03 malam tadi.
Susulan itu, lapan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi dikejarkan ke lokasi kejadian diketuai Pegawai Bomba Satu, Mohd Rafi Mohd Nor.
“Setibanya pasukan penyelamat di lokasi, mendapati sebuah bas ekspres jenis Nissan dan dua buah kereta Mercedes terbabit dalam kemalangan.
“Siasatan awal mendapati lima penumpang dalam dua buah kereta Mercedes cedera,” katanya.
Antara yang cedera pemandu salah sebuah Mercedes dikenali sebagai Che Nor Che Noh, 56, dan penumpang hadapan, Jarudah Alias, 50.
Manakala dalam sebuah lagi Mercedes yang cedera adalah Mohd Sofian Zakaria, Mohamad Zaki Zakaria, masing-masing 36 tahun serta seorang lagi penumpang wanita dikenali sebagai Shamsuzy Mahasan, 38.
Bagaimanapun pemandu bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Mohd Rafi, orang awam bertindak pantas mengeluarkan kesemua mangsa sebelum pihak bomba tiba. Bagaimanapun, anggota bomba memberikan rawatan awal dan membantu mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas serta stretcher.
Punca sebenar nahas masih dalam siasatan.
Baca juga: