Lima lelaki pukul OKU mengaku salah, didenda RM2,000

PETALING JAYA: Lima lelaki mengaku bersalah kerana sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di sebuah pasar pagi di Jalan Padang Astaka, Chukai, Kemaman pada 17 Januari lalu.

Ketua Polis Kemaman, Mohd Razi Rosli berkata, enam individu ditahan berhubung kes tersebut dan dituduh di Mahkamah Majistret Kemaman pada Isnin lepas.

Beliau berkata, lima daripada mereka mengaku bersalah, manakala seorang lagi meminta dibicarakan.

“Kesemua yang mengaku bersalah telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 setiap seorang dan mereka telah membayar denda tersebut.

“Kesemua tertuduh sebelum ini telah disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan spekulasi tidak benar.

“Pihak polis akan sentiasa memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil,” tambahnya.

Terdahulu, media melaporkan seorang OKU mental berusia 47 tahun dipukul beberapa individu selepas motosikalnya terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan terjatuh dan tumpah.

Mangsa dilaporkan cedera dipercayai dipukul dan disepak oleh beberapa individu yang dipercayai peniaga serta pembeli di pasar tani itu.

Anda Mungkin Berminat