TUARAN: Lima pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan termasuk sebuah treler di Jalan Sulaman Gayang, berhampiran Pusat Latihan Rela Tuaran, pada Jumaat.
Memetik Sinar Harian, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang itu melibatkan empat mangsa berusia 20 tahun dikenali sebagai Harianto Anuar, Neil Stanly Pletinie, Mohammad Ikhwan Kurniawan dan Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, manakala seorang lagi mangsa belum dikenal pasti identitinya, dilaporkan meninggal dunia di lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, seramai sembilan anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 29 kilometer dari balai.
“Kemalangan melibatkan sebuah treler dan kenderaan Toyota Wish yang bertembung sebelum terbabas di bahu jalan.
Terdapat enam mangsa, lima daripadanya berada dalam Toyota Wish dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kesemua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi ditamatkan pada jam 3.20 petang selepas memastikan keadaan di lokasi selamat,” katanya.