PETALING JAYA: Lima remaja yang bakal berdepan pertuduhan dalam kes buli melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tetap dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, meskipun kes mereka mendapat perhatian meluas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, hak asasi mereka sebagai kanak-kanak tetap terjamin termasuk hak kepada kerahsiaan, khidmat guaman dan layanan yang adil.
“Walaupun lima remaja itu kini berdepan pertuduhan, mereka tetap dianggap kanak-kanak di sisi undang-undang dan mesti dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, termasuk hak kepada kerahsiaan, khidmat guaman serta layanan yang adil,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan gesaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang meminta semua pihak khususnya media dan orang awam, agar menghormati hak lima remaja terbabit dan tidak mendedahkan identiti mereka.
Suhakam turut mengingatkan bahawa Seksyen 15 Akta 611 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali, terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak dalam prosiding mahkamah.
Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan bahawa lima pelajar akan dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah, berhubung kes Zara Qairina.
Menurutnya, prosiding akan dijalankan secara tertutup memandangkan kesemua suspek berusia bawah 18 tahun.