Lima Sidang Kemuncak Pacu Kerjasama Strategik Indo-Pasifik Berlangsung Hari Ini

KUALA LUMPUR: Hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN menyaksikan tumpuan diplomasi serantau yang semakin rancak dengan lima sidang utama berlangsung serentak hari ini (Isnin).

Dari kerjasama ekonomi hingga kestabilan strategik, para pemimpin ASEAN dan rakan dialog antarabangsa berkumpul untuk memperkukuh peranan rantau ini sebagai pemacu pertumbuhan dan keseimbangan global.

Antara sidang yang berlangsung hari ini ialah Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea ke-26, Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three ke-28, Sidang Kemuncak Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) ke-5, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-15.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, kelima-lima sidang itu memberi fokus kepada isu-isu kritikal seperti pengukuhan kerjasama ekonomi serantau, transformasi digital, peralihan tenaga bersih dan ketahanan rantaian bekalan.

“Sidang-Sidang Kemuncak hari ini akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi serantau, transformasi digital, peralihan tenaga bersih dan ketahanan rantaian bekalan.

“Menegaskan bahawa ASEAN bukan sekadar pusat pertumbuhan, tetapi juga pemacu kestabilan dan keseimbangan strategik di rantau Indo-Pasifik,” katanya dalam siaran secara langsung Taklimat Pejabat Perdana Menteri pada Isnin.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dijadualkan mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan pimpinan negara lain, membincangkan isu-isu berkepentingan bersama serta memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia di pentas antarabangsa.

Tambahnya, mengakhiri hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN dengan penganjuran Majlis Makan Malam Gala ASEAN, sebuah acara berprestij yang menghimpunkan para pemimpin ASEAN dan rakan-rakan dialog dalam suasana penuh muhibah dan diplomasi budaya.

Anda Mungkin Berminat