Lima Terbunuh Dalam Serangan Udara Israel Di Khan Younis

GAZA: Lima rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera apabila pesawat Israel menyerang khemah dan tempat perlindungan sementara bagi penduduk yang dipindahkan di barat Khan Younis, Gaza, menurut pasukan perubatan di Hospital Lapangan Kuwait.

Memetik laporan berita BBC, serangan itu mengenai kawasan pantai al-Mawasi.

Pasukan penyelamat memberitahu bahawa mereka menemui mayat di kem al-Najaat, sebuah kelompok khemah yang menempatkan ratusan penduduk yang dipindahkan sejak beberapa bulan lalu.

Saksi berkata, serangan awal menyasarkan sebuah khemah di dalam kawasan penempatan al-Mawasi, diikuti letupan berhampiran hospital Kuwait yang mencetuskan panik dalam kalangan keluarga yang berlindung di situ.

Tentera Israel berkata, mereka telah ‘menyerang seorang pengganas Hamas di selatan Semenanjung Gaza’.

Tentera itu menyatakan serangan dilakukan selepas lima askar Israel cedera di kawasan Rafah, Gaza.

“Organisasi pengganas Hamas telah melakukan pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata, di mana pengganas menyerang pasukan IDF (Tentera Pertahanan Israel) yang ditempatkan di kawasan Rafah,” kata Pasukan Pertahanan Israel dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum itu berikrar untuk ‘bertindak balas sewajarnya’ terhadap serangan tersebut.

Anda Mungkin Berminat