KUALA LUMPUR: Lima individu termasuk juruterbang sebuah helikopter jenis AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), disahkan selamat selepas pesawat itu terlibat dalam satu insiden di Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor, pagi tadi.
Dalam satu kenyataan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan bahawa helikopter berkenaan dikendalikan oleh seorang juruterbang dan membawa empat penumpang.
Katanya, ia telah berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi.
“Kesemua lima mangsa berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan seterusnya dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Johor,” katanya.
Menurut CAAM, semua mangsa telah dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Tambah kenyataan itu, satu siasatan terperinci kini sedang dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan Malaysia, bagi mengenal pasti punca insiden.
Difahamkan, siasatan dijalankan mengikut ketetapan Bahagian XXVI, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.








