Lima tokoh terima watikah Penasihat Parlimen Belia Malaysia

KUALA LUMPUR: Lima tokoh profesional dilantik sebagai Penasihat Parlimen Belia Malaysia (PBMy) dalam satu majlis rasmi yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul di Parlimen Malaysia.

Pelantikan itu dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh peranan PBMy sebagai platform pembangunan kepimpinan serta penyampaian suara belia di peringkat dasar negara.

Antara yang dilantik ialah bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ke-23, Tan Sri Datuk Seri Borhan Dollah yang turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Penasihat, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan serta Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Ts. Khairul Anuar Ishak.

Turut menganggotai barisan penasihat ialah Prof. Madya Ts. Dr. Noor Haida Mohd Kaus dari Universiti Sains Malaysia dan Prof. Madya Dr. Hazman Samsudin, penganalisis ekonomi dari Universiti Malaysia Terengganu.

Johari dalam satu kenyataan di Facebook menzahirkan keyakinan terhadap peranan barisan penasihat baharu itu dalam membawa hala tuju yang lebih kukuh untuk PBMy.

“Saya menyampaikan amanat dan harapan saya kepada barisan penasihat ini agar terus memandu PBMy ke arah melahirkan generasi pemimpin muda yang berilmu, berwibawa serta cinta akan negara,” katanya.

Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia dalam kenyataan berkata, pelantikan itu dijangka memperkukuh peranan PBMy dalam merangka pembangunan belia secara lebih menyeluruh.

“Dengan pelantikan tokoh berwibawa ini, PBMy dijangka memasuki fasa baharu yang lebih progresif dan strategik.

“Barisan penasihat ini akan dapat membantu merangka hala tuju, memperkukuh latihan kepimpinan serta membina jaringan berimpak tinggi dalam usaha mengangkat suara belia ke peringkat pembuat dasar negara.” menurut kenyataan itu.

Majlis turut disaksikan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman, pegawai Parlimen serta Sekretariat Induk PBMy sebagai sokongan terhadap usaha memperkasa generasi muda negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat