LANGKAWI: Penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama teknologi maritim dan aeroangkasa, bukan sahaja di rantau Asia Tenggara malah di peringkat global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam hantaran di Facebook selepas selamat tiba di Pulau Langkawi bagi bersama-sama menjayakan LIMA’25 yang akan bermula esok hingga 24 Mei ini.
“Selain mempamerkan aset dan teknologi pertahanan, LIMA’25 juga menjadi platform penting bagi menjalin kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak industri.
“Mendoakan agar segala urusan sepanjang penganjuran LIMA’25 dipermudahkan dan pameran ini menjadi satu edisi yang bermakna dan berjaya, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Terdahulu, LIMA ’25 dijangka menerima sambutan luar biasa selepas mencatat kehadiran 860 pempamer.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah itu, 426 adalah pempamer dari luar negara, manakala 434 membabitkan syarikat tempatan.