Liputan 5G Di Johor Terus Diperkukuh, Capai Hampir 89 Peratus — Teo Nie Ching

PARLIMEN | Liputan 5G di Johor terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan 84.1 peratus kawasan berpenduduk kini menikmati akses rangkaian tersebut, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, pencapaian itu didorong pembangunan 924 tapak pemancar 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) setakat 31 Oktober 2025, selaras sasaran Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk mencapai liputan internet 100 peratus di kawasan berpenduduk.

“Bagi Parlimen Muar sahaja, 20 tapak pemancar telah beroperasi dan menyediakan 88.7 peratus liputan 5G,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut Teo, DUN Maharani mencatat liputan tertinggi sebanyak 94.5 peratus melalui 13 tapak pemancar, manakala DUN Sungai Balang mempunyai tujuh tapak dengan 75.2 peratus liputan.

Selain rangkaian pertama DNB, beliau turut memaklumkan bahawa rangkaian 5G kedua yang dibangunkan U Mobile Sdn Bhd kini mencapai 50.6 peratus liputan di Johor, hasil naik taraf 316 tapak sejak ia mula beroperasi pada 14 Julai 2025.

“Di Parlimen Muar, sebanyak 20 tapak U Mobile akan dinaik taraf selewat-lewatnya pada 17 Julai 2026 sebagai sebahagian sasaran mencapai 80 peratus liputan 5G bagi rangkaian kedua,” katanya.

Daripada jumlah itu, 18 tapak terletak di DUN Maharani manakala dua lagi di DUN Sungai Balang.

Teo berkata, peluasan liputan 5G ke kawasan luar bandar akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keperluan setempat dan kesediaan infrastruktur.

JENDELA, yang dilancarkan pada 2020, merupakan pelan nasional untuk memperkukuh rangkaian internet negara melalui pembinaan infrastruktur baharu, menaik taraf stesen pemancar serta memperluas teknologi 4G dan 5G dengan matlamat memastikan semua kawasan berpenduduk mendapat akses internet berkualiti.

Anda Mungkin Berminat