KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyambut baik penjelasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bahawa nelayan berdaftar tidak perlu mendapatkan permit khas untuk membeli petrol bersubsidi melebihi 20 liter.
Pengerusi LKIM, Faiz Fadzil berkata, mekanisme kawal selia sedia ada menerusi Aplikasi MyMinyak sudah mencukupi untuk memantau penyaluran subsidi kepada nelayan yang layak melalui stesen minyak panel LKIM.
Menurut beliau, nelayan berdaftar dan tersenarai masih boleh menikmati pembelian petrol bersubsidi sehingga 50 liter sehari tanpa sebarang permit tambahan.

Katanya, LKIM juga akan bekerjasama rapat dengan KPDN bagi mengintegrasikan data Aplikasi MyMinyak ke dalam Sistem Permit Bekalan untuk memperkukuh ketelusan dan mengelakkan ketirisan subsidi.
“LKIM komited untuk terus bekerjasama dengan pihak penguat kuasa serta agensi berkaitan bagi memastikan tiada penyalahgunaan bahan api bersubsidi berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, penggunaan teknologi menerusi aplikasi MyMinyak akan terus diperkasakan sebagai mekanisme utama pemantauan kelayakan dan kuantiti pembelian petrol subsidi.
Dalam masa sama, LKIM akan terus memantau pelaksanaan inisiatif itu bagi memastikan nelayan menerima manfaat secara adil dan berkesan.
Faiz turut menggesa nelayan meningkatkan produktiviti tangkapan ikan selaras dengan kemudahan subsidi yang disediakan demi menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Baca juga:








