KAJANG: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan sehingga 3.27 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya utama dan laluan sambungan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, bermula seawal Jumaat, 13 Februari ini.
LLM dalam satu kenyataan memaklumkan, peningkatan trafik itu dipacu oleh cuti perayaan serta pemberian diskaun tol 50 peratus oleh Kerajaan MADANI pada 14 dan 15 Februari 2026.
“LLM menjangkakan aliran trafik tinggi akan tertumpu ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur dengan lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS merekodkan jumlah kenderaan tertinggi,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Sehubungan itu, semua syarikat konsesi lebuh raya diarahkan membuat persediaan rapi bagi memastikan perjalanan pengguna kekal selamat dan lancar sepanjang tempoh perayaan.
“Antara langkah diambil termasuk tiada penutupan lorong kecuali bagi kerja kecemasan, pengaktifan lorong pintar di lokasi dikenal pasti serta memastikan sistem kutipan tol beroperasi dengan baik,” katanya.
LLM turut memberi jaminan kemudahan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah akan dipertingkat dengan penyediaan tandas sementara, parkir tambahan dan penambahan petugas.
“Pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memeriksa baki kad tol dan e-dompet sebelum memulakan perjalanan,” jelas kenyataan itu.
Maklumat trafik semasa boleh diperoleh menerusi saluran rasmi LLM di media sosial atau dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM bagi membantu pengguna merancang perjalanan dengan lebih selesa dan selamat.
Baca juga:








