PETALING JAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa penunggang motosikal akan mula dikenakan bayaran tol bermula Oktober 2025, seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan media hari ini, LLM melahirkan rasa kesal terhadap penyebaran hantaran bertajuk ‘Penunggang Motosikal Boleh Merasai Pengalaman Membayar Tol Mulai Oktober 2025 Ini’ yang dimuat naik oleh pemilik akaun ‘ebidmotor’ di Facebook, Instagram dan TikTok pada Sabtu lalu.
“Posting tersebut mengandungi maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan pengguna lebuh raya khususnya penunggang motosikal serta menjejaskan reputasi Kerajaan, Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM dan syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat,” katanya.
LLM menjelaskan bahawa syarikat konsesi PLUS Malaysia Berhad kini sedang menjalankan ujian sistem tol terbuka menggunakan teknologi Automatic Number Plate Recognition (ANPR).
Jika berjaya, katanya, sistem itu akan dilaksanakan secara berperingkat di lebuh raya kendalian PLUS.
“Objektif utama pelaksanaan sistem ini adalah untuk melancarkan aliran trafik, meningkatkan keselesaan pengguna, dan mengurangkan kesesakan di plaza tol,” ujarnya.
Namun begitu, LLM berkata, tiada perubahan terhadap kategori kenderaan yang dikenakan tol setakat ini termasuk motosikal.
Sehubungan itu, LLM menyifatkan hantaran oleh ‘ebidmotor’ sebagai tidak benar, mengelirukan dan mencetuskan kebimbangan yang tidak berasas dalam kalangan penunggang motosikal.
“Sebaliknya, rujuklah kepada sumber rasmi dan kenyataan yang disahkan oleh pihak berkuasa,” tambahnya.
LLM turut menyeru orang ramai agar tidak mudah percaya atau menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan atau bersifat hasutan.