Logo Halal roti Ikhwan tidak sah – JAKIM

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Logo halal pada produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

JAKIM dalam kenyataan berkata, perkara itu disahkan melalui semakan melalui Portal Halal Malaysia selepas tular pertanyaan produk itu di media sosial.

“Kita mengambil perhatian serius terhadap pertanyaan yang diterima mengenai produk berkenaan yang sedang tular ketika ini.

“Perkara ini melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 di bawah perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya.

GISBH

Dalam hal itu, JAKIM sudah berhubung dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri untuk mengambil tindakan penguatkuasaan segera.

“Sekiranya didapati berlaku penyalahgunaan logo atau sijil halal pada produk, pihak syarikat boleh dikenakan tindakan di bawah akta terbabit,” katanya.

Menurutnya, akta berkenaan menetapkan semua makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal dengan cara lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam.

“Melainkan ia diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa dan ditandakan dengan logo sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah terbabit,” katanya.

Terdahulu, Pusat Kajian Ajaran Sesat Malaysia (PUKAS) di media sosial mempersoal kesahihan logo halal JAKIM pada produk roti berkenaan.

Anda Mungkin Berminat