Loke gesa polis segerakan siasatan kemalangan maut Simpang Renggam

PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menggesa polis menyegerakan siasatan terhadap kemalangan jalan raya di Simpang Renggam, Johor yang meragut lima nyawa termasuk empat mangsa sekeluarga baru-baru ini.

Beliau berkata ini bagi memastikan kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) secepat mungkin.

“Pemanduan sebegini tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Selasa.

Loke berkata keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama-sama semua pengguna jalan raya.

“Lesen memandu bukan kebenaran untuk memandu sesuka hati sehingga menyebabkan malapetaka kepada orang lain yang tidak berdosa,” katanya.

Dalam pada itu, Loke mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan tragedi itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Terdahulu, polis mengesahkan empat termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Simpang Renggam.

Kemalangan dipercayai berlaku akibat tindakan pemandu dua kereta mewah yang memandu secara laju dan melulu, dengan seorang daripada mereka maut semasa dalam perjalanan ke hospital.

Seorang lagi pemandu kereta mewah itu, iaitu remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan reman selama dua hari bermula Selasa bagi membantu siasatan kes tersebut. 

Baca juga;

Anda Mungkin Berminat