Loket Bergambar Almarhum Tunku Abdul Jalil Jadi Simbol Kasih Abadi Permaisuri Agong

JOHOR BAHRU: Majlis pelancaran Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor pada Jumaat bertukar menjadi momen penuh emosi apabila Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, berkenan memakai seutas rantai dengan loket istimewa yang menyimpan kenangan bersama Almarhum Tunku Abdul Jalil.

Difahamkan, loket berkenaan merupakan hadiah daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Ia mengandungi dua keping gambar kenangan Baginda bersama Almarhum, menjadikannya simbol kasih mendalam seorang ibu terhadap anakanda yang telah pergi menghadap Ilahi.

Sebagai pelengkap tanda ingatan itu, Seri Paduka Baginda turut mengenakan cincin milik Almarhum sepanjang acara berlangsung.

Pemakaian loket dan cincin tersebut bukan sekadar aksesori tetapi lambang kasih yang tidak pernah pudar terhadap Almarhum Tunku Abdul Jalil, yang mangkat pada 5 Disember 2015 ketika berusia 25 tahun.

Majlis pelancaran hari ini bukan sahaja memperingati legasi Almarhum, bahkan menyerlahkan hubungan penuh kasih antara Seri Paduka Baginda dan Almarhum, yang terus hidup dalam setiap kenangan yang dibawa Baginda.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor di Larkin, sebuah fasiliti bernilai RM500 juta yang menempatkan 200 katil serta dilengkapi teknologi perubatan moden pertama di luar Lembah Klang.

Hospital itu dinamakan sempena Almarhum Tunku Abdul Jalil, yang mangkat akibat kanser hati pada 2015 dan menjadi kesinambungan usaha Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dalam memperkukuh perkhidmatan rawatan kanser di negara ini.

Anda Mungkin Berminat