Lombong Emas Haram Di Kelantan Tumpas, Lima Lelaki Ditahan

KOTA BHARU: Kegiatan melombong emas secara haram di Kampung Biak, Dabong berjaya ditumpaskan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 menerusi serbuan dalam Op Taring Wawasan Kelantan pada 7 November lalu.

Serbuan yang dijalankan sekitar pukul 3 petang itu menemui lima lelaki sedang giat menjalankan aktiviti perlombongan sebelum cuba melarikan diri.

Namun, kesemua suspek yang berusia antara 24 hingga 37 tahun berjaya ditahan.

“Pasukan kami berjaya mengejar dan menahan kesemua suspek yang cuba melarikan diri ketika operasi dijalankan,” kata PGA dalam satu kenyataan pada Isnin.

Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah tiga jentera berat (excavator), mesin pam air, mesin palong dan beberapa karpet yang digunakan dalam aktiviti perlombongan.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.54 juta.

“Kegiatan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan,” katanya lagi.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 137(1)(b) Enakmen Mineral 2001 dan telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kelantan untuk tindakan lanjut.

Anda Mungkin Berminat