Oleh: Syahirah Harish
PARLIMEN: Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) akan memulakan program penyelenggaraan berterusan Jeti Dermaga Merdeka mulai tahun 2025 bagi memastikan struktur jeti tersebut kekal dalam keadaan baik dan selamat.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah menyatakan bahawa langkah ini diambil untuk memastikan infrastruktur jeti sentiasa terpelihara.
“Pihak LPL telah selesai melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem pencahayaan pada tahun ini dan juga tindakan penyelenggaraan ‘trestle’ Jeti Dermaga Merdeka pada Oktober 2024.
“Tindakan susulan dijadualkan bermula pada 2025 bagi memastikan struktur jeti sentiasa dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang meminta menyatakan status berkaitan perancangan naik taraf Pelabuhan Merdeka Labuan.
Menurut Hasbi, hasil kajian Penilaian Teknikal yang dilaksanakan pada Mei lalu mendapati bahawa struktur dan aksesori di Jeti Dermaga Merdeka dapat memenuhi permintaan operasi sehingga tahun 2038.
Namun, katanya, beberapa kerja penyelenggaraan pemulihan serta pengukuhan akan diperlukan antara tahun 2026 dan 2028 untuk menangani kemungkinan tekanan berlebihan pada struktur tersebut.
Hasbi juga menyatakan bahawa cadangan pembangunan Labuan Integrated Port masih dalam kajian oleh pihak Perbadanan Labuan, dan Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan selanjutnya setelah menerima permohonan rasmi.
Baca juga: