Oleh: Syahirah Harish
SUNGAI BULOH: Polis Daerah Sungai Buloh berjaya menahan seramai 23 lelaki dalam satu operasi serbuan besar-besaran yang dikenali sebagai Ops Sarang yang dijalankan pada Rabu.
Pihak polis kemudian terus bertindak atas maklumat orang awam mengenai aktiviti pengedaran dadah yang dipercayai berlaku di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor.
Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, operasi yang disertai oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh telah berjaya memberkas 23 individu lelaki berumur antara 20 hingga 60 tahun.
Jelasnya, tangkapan itu terdiri daripada 18 warga tempatan dan lima warga asing.
“Dalam operasi tersebut, polis turut merampas sebanyak 0.5 gram bahan yang dipercayai methamphetamine.
“Kesemua tangkapan kini disiasat di bawah beberapa Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952 memiliki dan penyalahgunaan dadah iaitu Seksyen 12(2)/12(3) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.
Dalam pada itu, terdapat dua tangkapan warga tempatan yang turut tersenarai sebagai ‘Orang Yang Dikehendaki’ dan satu tangkapan lain yang berpotensi dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan berulang sebagai penagih tegar.
Mohd Hafiz juga menyeru masyarakat untuk terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat-maklumat berkaitan jenayah, khususnya berkenaan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
“Kerjasama antara pihak polis dan masyarakat adalah kunci untuk memerangi aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan ini secara habis-habisan,” katanya.