Luluh hati saya dengar rintihan mangsa banjir – MB Johor

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluahkan rasa sedih melihat penderitaan rakyat negeri ini yang terpaksa berdepan dengan bencana banjir, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri yang hanya tinggal sembilan hari lagi.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat terjaga dan tidak akan membiarkan mereka menghadapi situasi ini bersendirian.

“Luluh hati saya mendengar rintihan dan luahan mereka yang terkesan akibat bencana ini”.

“Mereka diuji dengan kesusahan yang tidak terduga, rumah ditenggelami air, harta benda musnah dan anak-anak kecil yang terpaksa berlindung di pusat pemindahan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

“Dalam menghadapi ujian ini, Kerajaan Johor tidak akan sesekali berpeluk tubuh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang giat menyelaraskan bantuan termasuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan semua keperluan asas disediakan agar kebajikan mangsa terus terjamin.

“Marilah kita sama-sama berdoa supaya hujan segera reda dan keadaan kembali pulih seperti sediakala.

“Semoga ALLAH SWT mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada semua yang terjejas. Moga Ramadan ini tetap membawa keberkatan buat seluruh Bangsa Johor meskipun dalam ujian yang berat ini. Insya-ALLAH,” ujarnya.

Setakat ini, jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 5,092 orang daripada 1,284 keluarga, dengan 79 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di lima daerah terjejas iaitu Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi.

Bencana ini disifatkan sebagai antara yang paling buruk sejak banjir besar 19 tahun lalu, dengan hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu turut menyebabkan kesesakan luar biasa di Johor Bahru.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat yang dijangka berterusan sehingga Jumaat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat