Lulus kerakyatan China: Saifuddin sifatkan fitnah berniat jahat

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Dakwaan berkait Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution “memberi kewarganegaraan kepada rakyat China secara sesuka hati” adalah satu fitnah berniat jahat.

Saifuddin menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook beliau pada Rabu menepis sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menyatakan ianya sengaja dimainkan untuk membakar sentimen dan mengelirukan masyarakat.

“Dakwaan tidak bertanggungjawab ini fitnah dan berita palsu seperti tidak boleh dijadikan senjata politik, terutamanya ketika Kerajaan MADANI bertungkus lumus membantu rakyat menangani Krisis Bekalan Global,” katanya.

Tegas beliau, sepanjang memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, beliau kerap kali menjelaskan fakta itu beserta data yang lengkap di Parlimen dan sesi temu media.

Bagaimanapun kata beliau, sekali lagi muncul dan tularnya poster fitnah dan berbaur 3R itu setelah melakukan penafian mengenai isu yang sama pada Mac tahun lepas.

Beliau menekankan bahawa proses kelulusan kewarganegaraan negara tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya, apatah lagi untuk memenuhi agenda politik pihak tertentu.

“Setiap permohonan tertakluk sepenuhnya kepada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang serta tapisan keselamatan yang ketat,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat untuk tidak mudah terpedaya dengan naratif palsu dan sentiasa menyemak fakta daripada sumber yang sahih.

“Dakwaan kononnya saya “memberi kewarganegaraan kepada rakyat China sesuka hati” adalah fitnah berniat jahat yang sengaja dimainkan untuk membakar sentimen rakyat dan mengelirukan masyarakat.

“Saya menyeru rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan naratif palsu dan sentiasa menyemak fakta daripada sumber yang sahih.

“Penyebaran fitnah dan berita tidak benar bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menjejaskan keharmonian serta keselamatan negara.

“Saya juga menyeru pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita fitnah dan palsu ini agar menghentikan segera tindakan tidak bermoral tersebut dan bersama-sama menyokong usaha Kerajaan MADANI dalam mendepani cabaran semasa termasuk isu Krisis Bekalan Global yang memberi kesan kepada rakyat dan negara,” katanya.

Kata beliau lagi, ini bukan masa yang sesuai untuk menimbulkan keresahan, memainkan sentimen atau menambah beban rakyat dengan fitnah serta propaganda yang tidak berasas.

“Dalam keadaan rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global, semua pihak seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat serta mengutamakan kestabilan, perpaduan dan kesejahteraan negara,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat