PUTRAJAYA: Sektor kewangan menyumbang kira-kira satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Luxembourg – satu angka besar bagi negara kecil Eropah itu.
Fakta ini membuka potensi baharu untuk kerjasama Malaysia–Luxembourg, khususnya dalam bidang kewangan.
Timbalan Perdana Menteri Luxembourg, Xavier Bettel, hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz berkata, Luxembourg sudah lama muncul sebagai pemain global dalam pengurusan dana dan perkhidmatan kewangan, manakala Malaysia pula memiliki kelebihan dalam kewangan Islam dan pelaburan mampan.
“Gabungan kepakaran kedua-dua negara boleh membawa kepada pembangunan penyelesaian kewangan inovatif untuk pasaran ASEAN dan Eropah,” katanya.
Selain kewangan, kedua-dua negara turut melihat potensi dalam bidang aeroangkasa.
Malaysia melalui NAICO dijangka menjadi penghubung kepada syarikat gergasi Luxembourg seperti SES dan LuxSpace dengan pemain industri tempatan termasuk universiti serta agensi berkaitan.
Dalam masa sama, Malaysia turut berharap Luxembourg memberi sokongan dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Kesatuan Eropah (MEUFTA).
Pusingan kedua rundingan itu dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada November ini.
Menurut Zafrul, semua kerjasama ini diharap akan membuka peluang ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.