MA63: Anwar Tegas Usaha Bersama Realisasi Aspirasi Sabah, Sarawak

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara adil dan bermakna, demi merealisasikan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak yang telah lama menanti.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2025 yang berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching.

Mesyuarat berkenaan turut disertai Premier Sarawak, Ketua Menteri Sabah, Timbalan Perdana Menteri serta barisan pimpinan Persekutuan dan Negeri.

Menurut hantaran di Facebook Anwar, mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada pelaporan status kemajuan terkini berhubung pelaksanaan persetujuan di bawah MA63.

“Antara perkara yang dibentangkan dan dibincangkan termasuk cadangan pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak, hal ehwal pelancongan, kuasa dalam pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman, serta pemberian kuasa berhubung pengurusan alam sekitar,” katanya.

Anwar menzahirkan iltizam Kerajaan MADANI untuk terus membuka ruang perbincangan secara harmoni dan saling menghormati bersama kerajaan negeri.

“Insya-Allah, Kerajaan Persekutuan akan terus membuka ruang perbincangan secara harmoni, tertib dan penuh saling hormat bersama Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah.

“Dalam semangat MADANI, kita bukan sahaja bertekad menyelesaikan isu-isu berbangkit, malah merealisasikan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak yang telah lama menanti,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan hari ini merupakan yang paling giat dan paling banyak menyelesaikan perkara-perkara berhubung MA63, hasil kesungguhan dan muafakat semua pihak.

“Kerajaan MADANI hari ini adalah kerajaan yang paling giat dan paling banyak menyelesaikan perkara-perkara berhubung MA63, hasil kesungguhan, muafakat dan komitmen bersama semua pihak.

“Saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah atas kerjasama erat, keikhlasan serta semangat persaudaraan yang sentiasa menjadi sandaran dalam kita menzahirkan Perjanjian Malaysia 1963 secara adil dan bermakna,” katanya.

Anda Mungkin Berminat