Maaf Najib tidak cukup tutup kecurangan – AMK

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa permohonan maaf bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak mencukupi untuk menutup kecurangan yang telah dilakukan.

AMK menuntut tindakan tegas berlandaskan prinsip undang-undang diteruskan dan permohonan maaf ini tidak boleh menjadi pelindung bagi mana-mana pihak untuk mengelak daripada tanggungjawab yang lebih besar.

“Kepentingan awam dan keadilan untuk rakyat Malaysia tidak boleh dikompromi.

“Permohonan maaf semata tidak akan memulihkan kerugian yang telah dialami oleh rakyat Malaysia.

“Mereka yang terpaksa menghadapi kesan daripada skandal ini tidak boleh diabaikan,” kata AMK menerusi satu kenyataan, hari ini.

AMK menuntut kerajaan dan pihak berkuasa memastikan tindakan tegas diteruskan dan semua yang terlibat dalam skandal ini tanpa mengira status atau kedudukan turut dibawa ke muka pengadilan.

“Kewajipan untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran awam haruslah diutamakan agar kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan dapat dipulihkan.

“1MDB bukan sahaja mencemarkan nama baik negara, tetapi juga mengakibatkan kerugian besar kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.

“Rakyat Malaysia berhak untuk melihat keadilan ditegakkan dan mengembalikan maruah negara yang telah dicemari,” katanya.

Terdahulu, permohonan maaf secara terbuka daripada Najib telah dibuat dengan kenyataan yang dibacakan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib.

Dalam kenyataan tersebut, Najib menyatakan bahawa beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, serta eksekutif dari syarikat Petrosaudi.

Permohonan maaf ini tiba beberapa hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan sama ada Najib perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat