MELAKA: Pertemuan Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) Kali Ke-21 telah berlangsung dengan jayanya pada Ahad, 19 Oktober 2025.
Ia bagi memperkukuh sinergi serantau dalam bidang hal ehwal Islam dan melakar satu lagi pencapaian penting melalui pelancaran Rancangan Strategik MABIMS 2026–2030.
Pertemuan bersejarah itu dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Awang Badaruddin Pengarah Datuk Paduka Awang Othman, Menteri Agama Republik Indonesia, Bapak Prof Dr KH. Nasaruddin Umar, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, merangkap Menteri Negara Kanan Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura, Prof Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim serta Menteri Kanan, Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kerajaan Kemboja selaku negara pemerhati, Neak Okhna Datuk Dr Othsman Hassan.
Selain mesyuarat utama dan Mesyuarat SOM ke-49, penganjuran kali ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan yang memperkukuh hubungan serantau dan memperluas jangkauan dakwah serta pembangunan ummah.
Antara program yang berlangsung sepanjang pertemuan ini termasuk Forum Perdana Ehwal Islam Serantau, Program Komuniti ‘Semanis MABIMS, Seharum Serantau’, Melaka International Halal Festival (MIHF’25), MABIMS Halal Summit 2025 dan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Halal MABIMS.
Kemuncak pertemuan ini ialah pelancaran Rancangan Strategik MABIMS 2026–2030 yang memperbaharui rancangan sebelumnya bagi tempoh 2021–2025.
Dalam kenyataan bersama, MABIMS menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian yang telah dicapai sebelum ini.
“MABIMS berbangga dengan pencapaian yang telah dicapai sebelum ini terutamanya dalam aspek pelaksanaan dasar, pengurusan institusi agama, penyelarasan takwim hijri dan pembangunan sistem pengurusan halal yang semakin efisien dan inovatif.
“Kejayaan ini adalah hasil daripada kerjasama serantau yang erat dalam kalangan negara anggota MABIMS.
“Rancangan Strategik MABIMS bukan sahaja menjadi panduan tetapi juga sebagai rujukan pelaksanaan program-program MABIMS,” kata kenyataan itu.
Penganjuran MABIMS kali ini diyakini akan terus memperkukuh sinergi serantau demi kesejahteraan ummah dan masa depan yang lebih gemilang.
Komitmen yang dizahirkan oleh para menteri adalah untuk memastikan platform MABIMS kekal relevan, dinamik dan berdaya saing dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa serta menjadi contoh terbaik kerjasama serantau dalam bidang hal ehwal Islam.
“Komitmen yang dizahirkan adalah untuk memastikan platform MABIMS terus relevan, dinamik dan berdaya saing dalam menghadapi pelbagai cabaran serta menjadi contoh terbaik kerjasama serantau dalam bidang hal ehwal Islam,” kata MABIMS.
Pertemuan MABIMS Kali Ke-22 dijadualkan berlangsung di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2027, menandakan kesinambungan usaha memperkukuh perpaduan dan pembangunan ummah di rantau ini.
“Semoga pertemuan ini membuahkan hasil yang bermakna dan memberi impak yang berpanjangan buat seluruh umat Islam di rantau ini. Insya-Allah,,” menurut kenyataan bersama itu.
Pertemuan itu turut memperkukuh peranan MABIMS sebagai wadah unggul dalam memperkasa ummah melalui pendekatan inklusif, progresif dan berpaksikan nilai-nilai Islam yang rahmatan lil ‘alamin.








