MADANI Mengimbangi Kemajuan Material Dengan Jiwa dan Peradaban

MOSCOW: Kerangka MADANI yang diketengahkan Malaysia dilihat mampu menawarkan pendekatan holistik dalam menghadapi cabaran dunia masa kini dengan menekankan keseimbangan antara kemajuan material dan kekuatan nilai kemanusiaan serta peradaban.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam syarahan umum bertajuk “Bridging Worlds In A Fractured Age” di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO), menegaskan bahawa krisis utama dunia hari ini bukan sekadar melibatkan peralihan teknologi dan kuasa global tetapi lebih mendalam iaitu krisis nilai dan kehilangan arah moral.

“Generasi muda mesti menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan tenaga boleh baharu, namun tidak boleh terputus dari nilai, ihsan dan tanggungjawab moral,” ujar beliau di hadapan hadirin yang terdiri daripada akademia, diplomat dan pelajar antarabangsa.

Syarahan itu turut menyorot elemen penting dalam gagasan MADANI yang menekankan pembangunan seimbang bukan sahaja dari segi ekonomi dan fizikal tetapi juga dari sudut rohani, budaya dan tata kelola yang berintegriti.

Sebelum syarahan, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan bersama kepimpinan MGIMO yang diketuai Rektor Prof Anatoly Torkunov.

Dalam pertemuan tersebut, MGIMO menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan institusi pendidikan Malaysia termasuk Universiti Malaya.

“Malaysia mengalu-alukan langkah MGIMO untuk memperluas kepakaran dalam hal ehwal ASEAN serta bidang seperti pertanian, bahasa dan pertukaran pelajar,” katanya sambil menyatakan minat Malaysia untuk menghantar diplomat muda ke MGIMO bagi latihan lanjutan.

Dalam satu penghormatan istimewa, MGIMO turut menganugerahkan ijazah Doktor Kehormat kepada Perdana Menteri, yang beliau terima atas nama seluruh rakyat Malaysia yang menjunjung tinggi nilai kemanusiaan, keamanan dan perpaduan sejagat.

Perdana Menteri turut berkongsi kekaguman beliau terhadap karya-karya agung kesusasteraan Rusia seperti Dostoyevsky, Tolstoy, Chekhov dan Anna Akhmatova, yang menurutnya “bukan hanya memperkaya jiwa Rusia tetapi juga nurani kemanusiaan sejagat yang semakin terhakis”.

Syarahan di MGIMO menandakan penutup lawatan beliau di Moscow sebelum berangkat ke Kazan untuk menghadiri Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik “Russia-Islamic World” dan KazanForum.

Anda Mungkin Berminat