MAHA 2024 sedia terima 3 juta pengunjung

Oleh: Hanim Nadia

SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 optimis dan bersiap sedia untuk menerima tiga juta pengunjung yang disasarkan pada penganjuran kali ini bersempena 100 tahun MAHA.

MAHA yang akan berlangsung pada 11 September hingga 22 September ini di MAEPS, Serdang akan menampilkan 48 segmen menarik melibatkan aktiviti pameran dan jualan merangkumi ekosistem berkaitan rantaian nilai agromakanan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, MAHA sudah siap sedia dikunjungi apabila tinjauan beliau ke persiapan tapak program hampir 100 peratus siap.

“Tapak pameran itu akan bersedia sepenuhnya dengan pelbagai program serta acara menarik yang bakal berlangsung sepanjang tempoh berkenaan.

“Selain itu, sebanyak 16 negara akan menyertai MAHA kali ini termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Russia, Jepun, Thailand, Brunei, Indonesia dan lain-lain,” katanya kepada pemberita pada Program Media Tour MAHA 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang pada Isnin.

Tambahnya, pameran dwitahunan yang pertama kali dianjurkan pada 1923 itu dijangka membawa hasil RM6 bilion melalui nilai memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) yang akan dimeterai dalam pameran kali ini.

Menerusi penganjuran MAHA 2024, sebanyak lapan fokus utama disasarkan iaitu Sambutan 100 tahun MAHA, pertanian, kelestarian, modal insan MADANI, Teknologi Agro Pelancongan, MAHA Go Global dan pelaburan.

Selain itu, terdapat beberapa tarikan baharu iaitu Magical At Night and Water Show, Kids Attraction, Rhythm of Farmers, Agro Fit, Sunflower Garden dan juga Floating Market.

Dalam pada itu, kemudahan pengangkutan ditambah baik pada MAHA 2024.

Antaranya, pejalan kaki berbumbung sejauh 1.1 kilometer, bas perantara secara percuma di beberapa lokasi antaranya stesen Transit Aliran Masa (MRT) UPM, Putrajaya Wetland, IOI City Putrajaya.

Anda Mungkin Berminat