SERDANG: Malaysia bersiap sedia untuk menganjurkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2026 yang dijangka menjadi acara kemuncak sektor agromakanan negara dengan tema yang cukup signifikan iaitu ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’.
Majlis pra-pelancaran MAHA 2026 telah dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, di MAEPS Serdang pada Rabu.
Dalam ucapannya, beliau berkata, penganjuran MAHA kali ini membawa visi besar Malaysia untuk membangunkan ekosistem agromakanan yang berdaya tahan, berasaskan teknologi dan berimpak tinggi.
“MAHA 2026 yang akan diadakan pada 28 Ogos hingga 6 September 2026 mengangkat tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’ atau dalam Bahasa Inggeris ‘Value Creation for Food Security’ yang menampilkan visi Malaysia membangunkan ekosistem agromakanan yang berdaya tahan, berasaskan teknologi dan berimpak tinggi,” katanya.
Majlis pra-pelancaran ini bukan sekadar simbolik tetapi menjadi titik mula kepada gerakan besar-besaran melibatkan rakan strategik, agensi kerajaan, pemain industri dan media untuk menjayakan MAHA 2026.
Logo, sasaran dan maskot rasmi turut diperkenalkan, diikuti dengan pelepasan kenderaan Road to MAHA 2026 yang menandakan permulaan kempen nasional.
Selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0), MAHA 2026 menegaskan komitmen Malaysia dalam menjamin bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan mampan.
Ia juga menjadi pemangkin kepada nilai ekonomi baharu melalui inovasi dan pendigitalan.
Lebih daripada sekadar pameran, MAHA 2026 akan menjadi jambatan komuniti yang meraikan agropelancongan, warisan desa, hasil tempatan dan kepelbagaian budaya Malaysia.
Petani, usahawan, pelabur dan penginovasi akan berhimpun dalam satu misi besar iaitu memperluas perniagaan dan mentransformasi industri pertanian negara.
Pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai tarikan seperti pameran bunga, agrotek, fiesta makanan, pertandingan agro, persembahan laser dan air, sukan rakyat, rewang warisan, Rhythm of the Farmers (ROTF), santai kopi, agropreneur muda, ‘kiddies wonderland’, agro safari, taman burung dan banyak lagi.
Lebih penting, MAHA 2026 membuka peluang luas kepada usahawan dan pelabur untuk meneroka dagangan, pelaburan, kolaborasi teknologi serta membangunkan pasaran import dan eksport.
Ia juga menjadi medan pelancaran produk dan perkhidmatan inovatif yang mampu melonjakkan kerjaya dan keusahawanan dalam sektor agro.
“Melalui MAHA 2026, usahawan dan pelabur turut berpeluang meneroka dagangan, pelaburan, kolaborasi dan perkongsian teknologi, membangunkan pasaran import dan eksport.
“Serta melancarkan produk dan perkhidmatan inovatif sekali gus membuka ruang bagi pertumbuhan kerjaya dan keusahawanan dalam sektor agro,” katanya.
Dengan sasaran empat juta pengunjung, RM8 bilion nilai pemeteraian MOU/MOA, RM58 juta transaksi jualan, lebih 2,000 pempamer dan penglibatan 800,000 belia, MAHA 2026 dijangka menjadi pameran agro terbesar dan paling berimpak dalam sejarah negara.
“Penyertaan dalam MAHA 2026 bukan sahaja membolehkan perniagaan memperkukuh jaringan pelanggan sedia ada dan membina hubungan antarabangsa yang strategik.
“Malah memberi peluang menjadi antara yang terawal mengetahui trend pasaran terkini serta meningkatkan daya saing dalam industri agro,” katanya lagi.








