Maharani Freeport Wawasan Ekonomi Masa Depan

MUAR: Pelancaran Maharani Freeport pada Sabtu mencatat satu detik bersejarah apabila majlis berprestij itu diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sekali gus melambangkan sokongan penuh Institusi Diraja terhadap pembangunan ekonomi strategik negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka Baginda berangkat bercemar duli ke majlis berkenaan, yang menurutnya mencerminkan keprihatinan Baginda terhadap pembangunan ekonomi khususnya di negeri Johor.

Beliau berkata, pelancaran Maharani Freeport menandakan satu lagi anjakan strategik dalam usaha Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai hab perdagangan dan logistik serantau, sekali gus membuka lembaran baharu kepada pembangunan ekonomi berimpak tinggi di selatan tanah air.

Menurutnya, ‘freeport’ yang terletak di pintu masuk selatan Selat Melaka itu berada pada kedudukan maritim yang sangat strategik, di laluan perairan yang menyaksikan pergerakan hampir 100,000 kapal setiap tahun serta membawa hampir satu perempat perdagangan minyak dunia melalui laut.

“Dengan status ‘freeport’ dan kemudahan bertaraf dunia, pembangunan ini berpotensi menjadi hab utama pemindahan kargo, logistik dan perdagangan serantau yang menghubungkan pasaran Asia dengan Timur Tengah serta Eropah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di sini.

Anwar berkata, meskipun ekonomi global berdepan ketidaktentuan, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 hingga 4.5 peratus bagi tahun 2026, dipacu oleh kepelbagaian industri, transformasi digital dan pelaburan bernilai tinggi.

Sehubungan itu, beliau berkata, Maharani Freeport akan menjadi pemangkin penting kepada pengembangan kapasiti maritim negara, peningkatan daya saing logistik serta pendalaman penglibatan Malaysia dalam rantaian bekalan antarabangsa.

“Projek ini dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 45,000 peluang pekerjaan serta menarik kemasukan pelaburan langsung asing bernilai berbilion ringgit, selain membuka ruang luas kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk menembusi pasaran global,” katanya.

Dalam usaha merangsang pelaburan, Kerajaan melalui Kementerian Kewangan turut meluluskan pakej insentif cukai yang komprehensif kepada pemaju induk serta syarikat terlibat dalam aktiviti hab tenaga bersepadu, operasi pelabuhan laut dalam dan perkhidmatan berkaitan perdagangan.

Insentif khas turut disediakan kepada sektor sokongan seperti pusat data, infrastruktur dan utiliti, teknologi hijau, pelancongan perubatan serta hospitaliti.

Mengulas impak kepada Johor dan Muar, Anwar berkata, Maharani Freeport bukan sekadar projek perdagangan, malah berfungsi sebagai pemangkin pembangunan bandar, pendidikan, pembinaan kapal dan perkhidmatan sokongan, sekali gus mengubah Muar menjadi antara sempadan ekonomi baharu paling dinamik di negara ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, komitmen kerajaan terhadap aspek kelestarian apabila pembangunan itu dirancang dengan integrasi teknologi hijau, penggunaan tenaga boleh baharu serta inovasi digital bagi mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan operasi.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan telah mewartakan secara rasmi status Maharani Freeport dan zon bebasnya pada 28 November lalu, sekali gus membuka laluan kepada permulaan operasi penuh projek berkenaan.

“Maharani Freeport kini dibuka untuk perniagaan dan bersedia menjadi pintu masuk baharu kepada perdagangan global yang lebih mampan, cekap dan berdaya saing,” katanya.

Pelancaran itu turut disifatkan sebagai jemputan terbuka kepada pelabur antarabangsa untuk menjadikan Malaysia sebagai rakan strategik jangka panjang berteraskan kestabilan, integriti dan perkongsian lestari.

Anda Mungkin Berminat