Mahasiswa Keadilan Malaysia Bukan Sayap Rasmi PKR – AMK

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menegaskan bahawa Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) tidak ditadbir dan bukan sayap rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali gus menolak kekeliruan yang cuba ditimbulkan melalui kenyataan politik yang dikeluarkan atas nama MKM.

Dalam kenyataan media pada Isnin, AMK memaklumkan pihaknya mengambil maklum berhubung kenyataan tersebut yang didakwa berniat mencetuskan kekeliruan terhadap kepimpinan parti serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Daripada maklum balas awal yang diterima, kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan dan diputuskan secara kolektif dalam kalangan pimpinan serta jaringan MKM sendiri di seluruh negara,” katanya.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, kenyataan itu bukan sahaja tidak melalui proses organisasi yang teratur, malah telah dijawab secara tegas oleh Setiausaha Agung MKM serta pimpinan dan pengerusi MKM kampus universiti seluruh negara yang menafikan ia sebagai pendirian rasmi organisasi.

“Ini membuktikan bahawa tindakan beberapa kerat individu menggunakan platform mahasiswa untuk membawa agenda tertentu tidak mewakili suara majoriti MKM,” katanya.

Beliau berkata, ramai dalam kalangan pimpinan dan warga MKM telah tampil secara terbuka menyatakan bantahan serta kritikan tegas terhadap tindakan berkenaan yang jelas bercanggah dengan semangat asal gerakan mahasiswa itu sendiri.

Katanya, sejak awal penubuhan MKM, ruang autonomi dan kebebasan diberikan selaras dengan prinsip gerakan mahasiswa yang bebas, kritikal dan matang termasuk terhadap pihak yang dekat dengan parti sendiri.

Namun Danish berkata, kebebasan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan sabotaj dalaman, mencipta persepsi murahan dan memperalatkan nama organisasi bagi memenuhi percaturan politik individu tertentu.

Beliau percaya bahawa majoriti anak muda dan mahasiswa masih memahami sempadan perjuangan, disiplin organisasi serta tanggungjawab moral dalam membawa suara rakyat.

“Fokus kita hari ini adalah memastikan suara anak muda terus menjadi kekuatan membina masa depan Malaysia, bukan diperalat sebagai alat permainan politik sempit pihak tertentu yang ketandusan prinsip dan arah perjuangan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat