Mahasiswa PKR gesa Rafizi dikekalkan sebagai aset penting parti, negara

KUALA LUMPUR : Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) menyifatkan DatUK Seri Rafizi Ramli masih merupakan aset penting kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan negara, meskipun tidak lagi berada dalam barisan kepimpinan utama parti itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, MKM berpandangan bahawa ketiadaan Rafizi dalam struktur rasmi tidak seharusnya menjejaskan pengiktirafan terhadap sumbangan beliau, malah tokoh itu diyakini masih mampu memainkan peranan besar dalam memperkukuh hala tuju parti dan pembangunan negara.

“Rafizi Ramli telah membuktikan dirinya sebagai pemikir dasar yang progresif, lantang dan berprinsip. Pendekatan ekonomi berasaskan data serta analisis yang beliau perkenalkan merupakan kekuatan yang jarang dimiliki pemimpin lain,” kata Naib Pengerusi MKM, Paarveen Ravindran.

MKM turut menyifatkan beliau sebagai antara pencetus utama kepada pelaksanaan Dasar Ekonomi MADANI, selain pengenalan sistem subsidi bersasar dan usaha reformasi institusi awam serta dasar perolehan kerajaan.

Sehubungan itu, MKM menggesa pimpinan tertinggi PKR agar menilai semula peranan strategik yang boleh dimainkan oleh Rafizi demi memastikan kesinambungan agenda reformasi dan pembaharuan negara.

“Mahasiswa dan rakyat masih melihat beliau sebagai suara perubahan yang diperlukan dalam landskap politik Malaysia hari ini. Tokoh seperti Rafizi tidak sepatutnya disisih, sebaliknya perlu dirangkul kembali,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat