Mahathir Akhirnya Sertai PKR

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa bulan meninggalkan Bersatu, Dr Mahathir Mohd Rais muncul semula dalam arena politik apabila memilih Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai wadah baharu perjuangan.

Peryertaan ini menurutnya berteraskan keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan agenda reformasi Kerajaan Perpaduan.

Memetik laporan Sinar Harian, keputusan dibuat Mahathir selepas menilai hala tuju kerajaan yang menekankan prinsip reformasi, keadilan sosial dan integriti pentadbiran.

“Saya yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dasar kerajaan yang berpaksikan rakyat.

“Saya mahu membantu memperkukuh dasar pembangunan negara agar ia dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Bekas Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau mahu memainkan peranan dalam memastikan maklumat tepat disampaikan kepada rakyat supaya dasar kerajaan dapat difahami dengan jelas dan berasaskan fakta.

Beliau turut memaklumkan telah menyerahkan borang keahlian PKR kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh dan Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin dan kini rasmi menjadi ahli PKR Cabang Batu.

“Alhamdulillah, kemasukan saya diterima dengan baik.

“Saya kini sebahagian daripada keluarga besar PKR,” katanya.

Mahathir berkata, Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama perlu mengekalkan keseimbangan yang adil dalam mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan tanpa menjejaskan hak penganut agama lain.

“Perjuangan politik bukan soal kuasa semata-mata tetapi tanggungjawab untuk membina semula keyakinan rakyat terhadap institusi negara berasaskan kejujuran, amanah dan keadilan,” ujarnya.

Pada Januari lalu beliau mengumumkan keluar daripada Bersatu serta meletakkan semua jawatan termasuk sebagai Setiausaha PN Wilayah Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.

Anda Mungkin Berminat