‘Mahathir Perlu Rehat, Henti Politik Dendam’ – Sany Hamzan

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan agar menghentikan politik berasaskan dendam dan memilih untuk berehat, kata Pengarah Pilihanraya Parti Amanah Negara (AMANAH), Sany Hamzan.

Beliau menyifatkan kenyataan Mahathir yang mempertikai kesahihan pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak konsisten dan bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini.

“Kalau boleh saya nak nasihatkan Tun Dr Mahathir… berehat sajalah.

“Kita pun tak sanggup tengok bekas Perdana Menteri kita, dua kali jadi PM pun masih nak hidup dengan dendam,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Menurut Sany, tindakan Mahathir itu berpotensi mengelirukan rakyat, sedangkan beliau sendiri hadir dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 16 Mei 2018 yang memutuskan pengampunan penuh terhadap Anwar.

“Tun Mahathir sendiri ada dalam mesyuarat tu. Tapi sekarang dia soal pula proses yang dia terlibat sama.

“Ini bukan sahaja kelirukan rakyat tapi juga mempersenda sistem undang-undang dan institusi diraja,” tegasnya.

Beliau menjelaskan bahawa Jabatan Peguam Negara telah memperakui bahawa pengampunan Anwar adalah sah dan mengikut Perlembagaan serta telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Ini bukan keputusan suka-suka. Bila dah tak berkuasa, janganlah jadikan institusi sebagai modal politik,” tambahnya.

Beliau turut menyelar budaya politik berasaskan dendam yang masih dibawa oleh Mahathir, sedangkan negara memerlukan pendekatan lebih matang dan berintegriti.

Ahli Parlimen Hulu Langat itu turut menyatakan rasa sedih melihat Mahathir menjadi sasaran kecaman netizen dan menyarankan agar tokoh berusia 99 tahun itu menamatkan karier politik dengan bermaruah.

“Budaya politik kita patut beralih ke arah yang lebih sejahtera, ada adab, ada nilai.

“Kalau asyik ulang naratif lama, rakyat akan makin bosan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat