MAHB jual pegangan Lapangan Terbang Antarabangsa GMR Hyderabad

Malaysia Airports Holdings Berhad bersama anak syarikat milik penuhnya, MAHB (Mauritius) Private Limited melepaskan keseluruhan 11 peratus pegangannya dalam Lapangan Terbang Antarabangsa GMR Hyderabad Limited (GHIAL) iaitu syarikat induk yang menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Hyderabad di India kepada Kumpulan GMR pada nilai AS$100 juta (RM478 juta).

Kumpulan MAHB memperoleh 11 peratus kepentingan dalam GHIAL daripada Kumpulan GMR pada tahun 2009 dengan harga AS$10 juta.

Sejak pengambilalihan berkenaan berlaku, Kumpulan MAHB mengekalkan kepentingan minoriti dalam usaha niaga itu.

Dalam satu kenyataa, MAHB memaklumkan, penjualan itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyelaraskan portfolio pelaburan luar negaranya dan membuka nilai daripada aset bukan terasnya sekali gus selaras dengan strategi pertumbuhan perniagaan antarabangsa Kumpulan.

“Hasil daripada pelupusan ini akan dialihkan kepada tujuan korporat am dan perbelanjaan modal dalam aset di mana Kumpulan MAHB memegang kepentingan kawalan.

“Pendekatan pelaburan semula strategik ini merupakan elemen utama dalam strategi pertumbuhan Kumpulan, membolehkannya mengoptimumkan portfolio pelaburannya dan mengukuhkan kawalannya ke atas aset teras, akhirnya membawa kepada nilai jangka panjang yang lebih besar untuk pihak berkepentingan,” katanya. 

Anda Mungkin Berminat