KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, menyelar kenyataan PAS yang mendakwa mempunyai ‘tiga atau empat lori calon Perdana Menteri’ dengan menyifatkannya sebagai tidak matang dan jauh daripada mencerminkan akhlak Islam.
Menurut Mahfuz, jawatan Perdana Menteri bukan soal kuantiti tetapi memerlukan kualiti kepimpinan, pengalaman dan kemampuan sebenar untuk mentadbir negara.
“PAS kata mereka ada tiga, empat lori calon PM. Masalahnya semua calon itu duduk atas lori yang rosak brek, tayar pancit dan tak tahu arah nak pergi.
“Rakyat tidak perlukan karnival calon PM, rakyat perlukan kepimpinan stabil dan ada wawasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sindiran Mahfuz tidak terhenti di situ, beliau turut menyifatkan ‘lori calon’ PAS sebagai tidak pernah sampai ke Putrajaya, sebaliknya hanya membawa janji kosong, retorik agama dan politik kebencian.
“Realitinya, satu lori pun tak pernah sampai ke Putrajaya. Yang sampai hanyalah lori sampah yang membusuk,” katanya lagi.
Mahfuz berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih bukan kerana jumlah calon yang ditawarkan tetapi kerana kualiti dan kemampuannya menyelamatkan negara selepas kegagalan kerajaan terdahulu yang turut disertai PAS.
Dalam masa yang sama, beliau berharap agar Muktamar PAS ke-71 yang bermula hari ini dapat menamakan calon Perdana Menteri mereka secara rasmi, selepas parti itu sebelum ini menolak pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh rakan sekutu mereka, Bersatu.