Mahfuz Tempelak Seruan PAS Guna Agama Desak Himpunan 26 Julai

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menempelak seruan Dewan Ulama PAS Pusat yang menggesa rakyat turun ke perhimpunan 26 Julai atas alasan tanggungjawab moral dan agama.

Beliau menyifatkan seruan itu sebagai berbahaya dan memberi mesej ekstrem kepada golongan fanatik.

Katanya, mengaitkan tindakan politik jalanan dengan kewajipan agama boleh cetus kekeliruan serta mendorong perpecahan.

“Malaysia di ambang bahaya apabila agama diperalat untuk tujuan politik dan nafsu kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mahfuz berkata, tiada kezaliman dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh dijadikan alasan untuk digulingkan secara jalanan.

Menurutnya, jika mahu tukar kerajaan, ia mesti dibuat melalui proses berperlembagaan dan bukan dengan meniup kebencian atas nama agama.

Tambahnya, kerajaan perpaduan hari ini dibentuk secara sah dengan mandat rakyat dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau mahu tukar PM, buktikan sokongan di Parlimen, bukan himpun rakyat atas momokan agama,” ujarnya.

Beliau menyifatkan kenyataan Dewan Ulama PAS itu bukan dakwah, sebaliknya satu bentuk hasutan.

Mahfuz turut menggesa pihak berkuasa ambil tindakan agar rakyat tidak menjadi mangsa retorik politik sempit.

“Cukuplah Islam dijadikan tunggangan untuk rampas kuasa. Jangan ulang sejarah hitam dunia Islam,” tegasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat