SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengarahkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk memohon maaf kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung kes saman fitnah yang melibatkan projek pembersihan Sungai Klang.
Kes itu timbul apabila Sanusi membuat dakwaan yang mengaitkan Amirudin dengan pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan dalam projek bernilai RM10 bilion tersebut.
“Kes ini dengan ini diselesaikan dan ditutup sepenuhnya,” kata Hakim Rozi Bainon.
Namun, hakim tidak membenarkan kenyataan permohonan maaf Sanusi dikeluarkan kepada umum.
Terdahulu, Amirudin memfailkan saman fitnah terhadap Sanusi pada 31 Ogos 2023 dengan menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk menghalang Sanusi daripada mengulangi dakwaan tersebut.
Ia susulan ucapan Muhammad Sanusi pada 2 Ogos 2023 dalam Jelajah Mega PN Best ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ yang membuat dakwaan mengenai skandal antara Amirudin dan Vincent yang mahu melaksanakan projek bernilai RM10 bilion di Sungai Klang.