Mahkamah dapati tiada RM1 juta masuk ke dalam poket Syed Saddiq – Hisham Teh

Oleh: Tyah Helmi

PUTRAJAYA: Tangisan kelegaan dan sujud syukur mengiringi detik bersejarah buat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, apabila Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan beliau daripada semua pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Keputusan secara sebulat suara itu diputuskan oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Bekas Presiden Parti Muda itu berjaya mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2023 selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan.

Sejurus keluar dari kamar perbicaraan, Syed Saddiq bersama ahli keluarga dan rakan taulan melakukan sujud syukur di perkarangan lobi mahkamah bagi menzahirkan rasa syukur atas kemenangan yang dinanti-nantikan selama lima tahun.

Syed Saddiq dalam nada sebak berkata, lima tahun kebelakangan merupakan neraka baginya kerana ada pihak yang cuba mencalarkan integritinya malah menolak jalan mudah yang ditawarkannya bagi membersihkan nama beliau semula.

“Cabarannya kalau saya nak ungkap satu persatu sangat panjang, 5 tahun adalah neraka bagi saya, kerana ada pihak yang cuba untuk mencalarkan integriti saya yang saya lebih menjaga berbanding diri saya sendiri.

“Pelbagai tawaran yang saya terima terpaksa saya tolak, jalan mudah ditolak untuk membersihkan nama di mahkamah kerana mahkamah itulah merupakan benteng terakhir bagi rakyat yang disalahi dan dan dikhianati.

“Kemenangan ini bukan hanya untuk saya tetapi untuk semua yang percaya kepada keadilan,” katanya sambil memeluk ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz yang turut hadir memberi sokongan.

Pada masa sama, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq menyifatkan, keputusan itu sebagai kemenangan yang adil dan menegaskan bahawa tidak wujudnya kes prima facie yang wujud dan tiada bukti wujud niat yang tidak jujur dari anak guamannya.

“Kami bersyukur dan berterima kasih kepada barisan hakim Mahkamah Rayuan yang menghargai dan menerima hujahan kami.

“Dua perkara yang utama yang dapat saya ketengahkan, tiada kes prima facie dan pembelaan Syed Saddiq pada sebelum ini tidak dihargai sepenuhnya oleh Mahkamah Tinggi,” katanya.

Kata Hisyam lagi, mahkamah turut mendapati tiada satu pun wang sebanyak RM1 juta masuk ke dalam poket Syed Saddiq.

Sebalik itu katanya, wang berkaitan dana Armada itu digunakan untuk parti dan bukan untuk dirinya.

“Ini menunjukkan tiada pecah jenayah pecah amanah yang berlaku,” ujarnya lagi.

Dalam penghakiman yang dibacakan oleh Hakim Datuk Noorin Badaruddin, mahkamah sebulat suara berpendapat bahawa tiada sebarang bukti menunjukkan Syed Saddiq menerima wang tersebut untuk kepentingan peribadi.

“Adalah selamat untuk disimpulkan bahawa Syed Saddiq tidak menerima walau satu sen pun.

“Ini secara langsung menolak dakwaan berlakunya persekongkolan atau bersubahat dalam penyelewengan wang,” tegas beliau.

Noorin turut menjelaskan bahawa keseluruhan dana RM1 juta yang menjadi asas pertuduhan telah dibuktikan digunakan sepenuhnya untuk pelaksanaan program-program di bawah sayap pemuda parti, ARMADA.

“Mahkamah tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan wang tersebut dikeluarkan dengan niat tidak jujur,” katanya lagi.

Prosiding hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan.

Manakala pihak guaman Syed Saddiq pula diketuai oleh, peguam bela Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik

Turut kelihatan di mahkamah ialah ibu, ayah serta ahli keluarga Syed Saddiq serta penyanyi dan pelakon Bella Astillah,serta lebih 40 penyokong yang hadir sejak awal pagi bagi memberi semangat kepada beliau.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi mendapati Syed Saddiq bersalah atas 4 pertuduhan bersubahat melakukan pecah Amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Ekoran itu, Syed Saddiq dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun dan 2 sebatan serta denda RM10 juta.

Untuk rekod, kes ini bermula pada Julai 2021 apabila Syed Saddiq yang ketika itu merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan didakwa atas empat pertuduhan melibatkan dana sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada).

Beliau dituduh bersubahat dalam pecah amanah melibatkan RM1 juta, menyalah guna RM120,000 serta dua pertuduhan penggubahan wang haram masing-masing berjumlah RM50,000.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat