SEPANG: Usahawan kosmetik yang juga pempengaruh, Datuk Seri Alif Syukri Kamarzaman diperintah untuk membela diri di Mahkamah Sesyen, Sepang, hari ini di atas empat pertuduhan yang melibatkan muat naik kandungan video raya kontroversi pada tiga tahun lalu.
Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Ahmad Fuad Othman terhadap Alif Syukri selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Memandangkan pihak pendakwaan telah berjaya dalam kes prima facie, mahkamah memanggil OKS untuk membela diri.
“OKS diberikan tiga pilihan untuk membela diri iaitu yang pertama OKS perlu memberi keterangan secara bersumpah. Kedua, memberi keterangan tanpa bersumpah, dan yang ketiga berdiam diri,
“Dalam hal ini, perkara yang menjadi tidak sopan adalah disebabkan video itu dimuat naik dalam bulan Ramadan yang mana bulan yang sepatutnya dihormati. Penentuan tidak sopan itu tidak memerlukan keterangan mana-mana pakar untuk mentakrifkan perkara tersebut,” katanya pada prosiding hari ini.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh keterangan bela diri pada 19, 22 Mei, serta 16 Jun dan 3 Julai.
Pihak pendakwaan telah diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin.
Terdahulu, usahawan terbabit didakwa atas empat pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video berbaur sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi Instagram ‘aliffsyukriterlajaklaris’.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 serta ia dilihat di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya, Sepang pada 24 April 2022.
Keempat-empat pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Sebelum ini, Malaysia dikejutkan dengan satu keluaran muzik video lagu raya berdurasi lima minit 23 saat pada 2022 sehingga menjadi kontroversi ketika mana ia memaparkan aksi jelik dan keterlaluan oleh empat penari lelaki yang disifatkan mencemari bulan Ramadan beserta elemen LGBT.
Baca juga: