Mahkamah Persekutuan Isytihar Akta Perhimpunan Aman Tidak Berperlembagaan

PETALING JAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang memperuntukkan hukuman terhadap kegagalan memberi notis sebelum menganjurkan perhimpunan aman adalah tidak selaras dengan Perlembagaan.

Keputusan itu diumumkan oleh panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sekali gus dilihat sebagai kemenangan penting buat kebebasan berhimpun dan hak asasi rakyat seperti yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu juga membawa makna besar kepada Pengarah Eksekutif MANDIRI, Amir Hadi yang didakwa pada Ogos 2022 kerana menganjurkan protes awam #ManaKapalLCS—sebuah perhimpunan menuntut penjelasan terhadap skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

“Selepas tiga tahun turun naik mahkamah, akhirnya kemenangan berpihak kepada saya dan rakyat Malaysia.

“Ini bukan hanya keputusan mahkamah tetapi pengiktirafan terhadap hak berhimpun secara aman,” katanya dalam satu kenyataan.

Amir turut mengkritik sikap terpilih kerajaan dalam mendakwa pihak yang terlibat dalam skandal LCS, di mana isu yang pernah menjadi bahan kempen utama Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau menegaskan bahawa perjuangan menuntut keadilan dan pertanggungjawaban atas skandal rasuah itu akan diteruskan.

“Selagi penyangak dan perasuah belum diheret ke muka pengadilan, perlawanan akan diteruskan,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat