Mahkamah Persekutuan Kekalkan Sabitan, Paul Yong Jalani Hukuman Penjara 8 Tahun

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan terakhir bekas Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong, sekali gus mengesahkan sabitan bersalah terhadap kesalahan merogol pembantu rumah warga Indonesia enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Wan Ahmad Farid Wan Salleh bersama Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah, mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap Yong.

Dengan keputusan itu, Yong diperintahkan memulakan hukuman penjara serta-merta.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Yong bersalah merogol pembantu rumahnya dan menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun serta dua sebatan. Namun, Mahkamah Rayuan tahun lalu mengekalkan sabitan tetapi mengurangkan hukuman penjara kepada lapan tahun.

Dalam penghakimannya, Wan Ahmad Farid menegaskan keterangan mangsa adalah kukuh dan boleh dipercayai, termasuk dakwaan bahawa tertuduh mengugutnya agar tidak mendedahkan kejadian kepada isterinya.

“Selepas kejadian, mangsa menghubungi kedutaan dalam keadaan panik sebelum membuat laporan polis sehari kemudian, pada 8 Julai 2019,” katanya.

Beliau turut menolak hujahan pihak pembelaan mengenai pelaksanaan Seksyen 265A Kanun Prosedur Jenayah, yang didakwa melanggar hak tertuduh.

“Tertuduh tidak mempunyai hak untuk hadir dalam siasatan awal ini. Proses tersebut tidak menjejaskan haknya membela diri atau hak peguam menyoal balas saksi dalam perbicaraan penuh,” jelasnya.

Yong diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik bersama tujuh peguam lain, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amril Johari.

Selepas prosiding, Hisyam memaklumkan keluarga Yong kecewa dengan keputusan itu dan akan meneliti alasan penghakiman sebelum menentukan langkah seterusnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat