PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang enggan mengisytiharkan empat kerusi Parlimen di Sabah sebagai kosong.
Keempat-empat kerusi itu dimenangi oleh bekas ahli Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Keputusan itu dibuat menerusi undian majoriti dua lawan satu oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Hakim Nallini dan Sequerah membentuk keputusan majoriti, manakala Datuk Azizah menyampaikan pandangan berbeza.
Dalam penghakiman majoriti, Hakim Nallini menjelaskan bahawa isu yang dibangkitkan melibatkan kuasa perlembagaan Speaker di bawah Perlembagaan Persekutuan, yang bersifat tidak boleh diadili oleh mahkamah (non-justiciable).
“Mahkamah perlu menghormati prinsip pengasingan kuasa dan keistimewaan Parlimen. Justeru, campur tangan terhadap kuasa khusus Speaker hanya wajar dilakukan sekiranya berlaku penyalahgunaan kuasa,” katanya dipetik Sinar Harian.
Beliau turut menegaskan bahawa Speaker telah menjalankan kuasanya selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, dan kuasa tersebut bukan bersifat pentadbiran semata-mata.
“Speaker bukan sekadar bertindak sebagai ‘rubber stamp’, sebaliknya menjalankan fungsi perlembagaan yang diperuntukkan,” katanya.
Baca juga:








