KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berjaya dalam saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan selepas Mahkamah Rayuan memerintahkan Musa membayar ganti rugi berjumlah RM250,000.
Memetik laporan, keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Azimah Omar, dengan dua lagi hakim ialah Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Dr Shahnaz Sulaiman.
Selain ganti rugi, mahkamah turut mengarahkan Musa membayar kos perbicaraan sebanyak RM60,000 kepada Hannah.
“Pesuruhjaya Kehakiman telah terkhilaf dalam keputusannya ketika menolak saman Hannah. Kami membenarkan rayuan ini dan memerintahkan agar keputusan tersebut diketepikan,” kata Azimah dalam penghakimannya.
Terdahulu, Hannah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember 2024 yang menolak saman fitnahnya serta mengarahkan beliau membayar kos RM40,000.
Untuk rekod, saman fitnah itu difailkan Hannah pada tahun 2020 berhubung kenyataan yang dikeluarkan Musa dalam satu forum pada 30 Januari 2020.
Hannah yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan hadir ke mahkamah hari ini bagi mengikuti prosiding keputusan rayuan tersebut.
Baca juga:








