Mahkamah Rayuan benar permohonan Anwar tangguh kes saman sivil Yusoff Rawther

Oleh: Tyah HelmI

PUTRAJAYA: (KEMASKINI) Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan prosiding dalam kes saman sivil oleh bekas pembantu penyelidik Mohammed Yusoff Rawther.

Kes saman berkenaan adalah berkait dengan Muhammad Yusoff yang mendakwa serangan seksual dikenakan terhadapnya yang ketika itu berlaku di kediaman Anwar di Segambut pada 2 Oktober tahun 2018 yang lalu.

Menerusi sidang media, peguam yang mewakili Anwar iaitu Datuk Seri R Krishnan berkata, penangguhan itu dibuat sementara menunggu keputusan rayuan Perdana Menteri terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau untuk merujuk lapan persoalan berkait perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan.

Kata beliau, proses seterusnya adalah pengurusan kes yang ditetapkan pada 2 September depan yang mana akan diketahui tarikh pendengaran rayuan tersebut akan ditetapkan.

Perdana Menteri berjaya mendapat penangguhan itu, ia hasil keputusan sebulat suara panel tiga pada prosiding hari ini di Mahkamah Rayuan Putrajaya yang dipengerusikan oleh hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali yang bersidang bersama-sama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Lim Hock Leng.

Menurut Ruzima Ghazali, mahkamah membuat keputusan sebulat suara itu setelah mendapati wujud keadaan istimewa yang membolehkan penangguhan terbabit diberikan.

Manakala, Anwar pula diwakili oleh peguam Alan Wong Teck Wei dan Datuk Seri Rajasegaran S. Krishnan manakala Muhammed Yusoff diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, Nur Mustanir Md Nor dan Mior Nor Haidir Suhaimi.

Sebelum ini, media melaporkan kes saman sivil bekas pembantu penyelidik tersebut telah ditetapkan untuk prosiding pendengarannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang bermula 16 Jun lepas.

Terdahulu, Anwar telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.

Anwar memfailkan notis rayuan terbabit di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman di Putrajaya melalui firma guaman Tetuan Zain, Megat & Murad pada 4 Jun lalu.

Menurut notis rayuan itu, Anwar tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan diberi oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain, dan merayu terhadap keseluruhan keputusan terbabit.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat