Mahkamah Rayuan tolak permintaan Rosmah singkir Hakim

PUTRAJAYA:(KEMASKINI) Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam rayuannya supaya Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada terus mendengar dan membuat keputusan dalam kes rasuah projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara menolak rayuan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu selepas mendapati Rosmah gagal menunjukkan terdapat merit dalam rayuan berkenaan.

“Dengan itu, kami mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi,” kata Ahmad Zaidi yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Rosmah, 74, memfailkan permohonan supaya Mohamed Zaini yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menarik diri dua hari sebelum keputusan kes rasuah dihadapinya dijangka diumumkan, berikutan alasan penghakiman kes didakwa bocor.

Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini yang ketika itu merupakan Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah dan mengenakan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Namun, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan utama terhadap sabitan dan hukuman itu.

Dalam penghakimannya hari ini, Ahmad Zaidi menegaskan mahkamah tidak meragui integriti Mohamed Zaini yang mendengar perbicaraan selama lebih dua tahun setengah. Sepanjang tempoh itu, Rosmah tidak pernah memohon agar hakim menarik diri sehinggalah beberapa hari sebelum keputusan disampaikan.

Katanya, hujah Rosmah yang merujuk artikel bloger Raja Petra Kamarudin tidak boleh dijadikan asas kerana penulis terbabit berada dalam buruan dan dianggap tidak berwibawa.

“Selepas meneliti kedua-dua dokumen, mahkamah mendapati alasan penghakiman sebenar setebal 116 muka surat yang disediakan hakim bicara adalah berbeza dengan versi yang tular. Penjelasan hakim bahawa beliau menulis sendiri alasan penghakiman adalah konsisten,” katanya.

Ahmad Zaidi berkata, pendakwaan di peringkat Mahkamah Tinggi juga berjaya membuktikan tiada risiko berat sebelah oleh hakim bicara, sekali gus menolak dakwaan Rosmah bahawa keputusan kes sudah dipengaruhi.

Prosiding hari ini turut dihadiri peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kader, Azrul Zulkifli Stork dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai.

Rosmah sebelum ini didapati bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya, Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu syarikat itu memperoleh projek solar hibrid berkenaan.

Pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi memerintah Rosmah membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Pihak pembelaan kemudian menutup kes pada 23 Februari 2022 selepas memanggil dua saksi iaitu Rosmah sendiri dan bekas Pengarah Bahagian FLOM, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat